Habbatussauda : Kelebihannya kepada kesihatan merujuk kepada kajian sains.

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Minyak habbatussauda (Black Seed Oil) di hasilkan daripada biji tumbuhan ‘Nigella Sativa’ yang termasuk dalam keluarga tumbuhan ‘ranunculus’ (Ranunculaceae) atau lebih dikenali dengan nama “habbatussauda”. Tumbuhan ini tumbuh di kawasan Asia Barat, Mediterranean dan Utara Afrika. Ia telah ditanam secara meluas selama berkurun lamanya kerana bijinya digunakan dalam rempah masakan dan juga dalam perubatan.

Minyak habbatussauda (black seed oil ; black cumin oil) dihasilkan daripada biji hitam (nigella sativa) yang telah digunakan beribu-ribu tahun dalam perubatan dan disebut didalam Hadith Nabi Muhammad SAW:

Sekarang telah terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa minyak habbatussauda sememangnya mempunyai khasiat kesihatan seperti mencegah kanser seperti kanser payudara, prostat dan kanser otak. Kajian juga menunjukkan minyak habbatussauda juga meningkatkan kesihatan organ hati dan membantu membunuh kuman ‘kebal’ (superbug) seperti MRSA yang kebal kepada antibiotik biasa.

Kajian juga menunjukkan minyak habbatussauda boleh membantu mengawal penyakit diabetes, tekanan darah tinggi (hypertensi), keradangan & kolesterol tinggi dan obesiti. Disamping itu, minyak habbatussauda juga baik untuk kesihatan kulit dengan membantu masalah jerawat, ekzema dan keguguran rambut. Pastikan anda membeli minyak habbatussauda yang asli dengan kualiti terapeutik terbaik dan organik dan disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan untuk mendapatkan khasiat dan kelebihan minyak habbatussauda ini.

Kandungan bahan aktif fitokimia dalam habbatussauda

Didalam jurnal perubatan “Egyptian journal of Biochemistry & Molecular Biology” tahun 2010 1 telah mengkaji tentang kesan ‘anti kulat’ minyak habbatussauda secara mendalam tentang kandungan minyak habbatussauda iaitu ia mengandungi 3 bahan utama:

  • Thymol
  • Thymoquinone (TQ)
  • Tetrahydroquinone(THQ)

Kajian tersebut menunjukkan ketiga-tiga bahan ini mempunyai kesan 100% menentang 30 jenis kuman patogen. Kajian ini juga menunjukkan bahawa TQ (thymoquinone) adalah bahan anti kulat yang paling kuat melawan jangkitan kulat di kulit (dermatophyte) dan yis berbanding THQ dan Thymol. Manakala bahan thymol pula baik untuk kulapuk (mold) berbanding TQ dan THQ.

Kajian ini juga menunjukkan minyak habbatussauda mempunyai bahan fitokimia yang unik yang bersifat anti kulat dan fungal dan ahli sains sedang mengkaji keberkesanan minyak ini untuk melawan ‘kuman super’ (superbug) yang mampu melawan ubat antibiotik.

Thymoquinone (TQ) adalah bahan aktif didalam minyak habbatussauda yang telah dikaji sejak tahun 1960an. Ia bersifat anti oksidan, anti keradangan dan anti kanser yang dilaporkan efektif melawan jangkitan otak (encephalomyelitis), diabetes, athma dan pertumbuhan sel-sel kanser (carcinogenesis). (Rujukan 2) Yang menariknya TQ juga bersifat seperti radikal bebas atau iaitu sebagai ‘superoxide radical scavenger’ yang efektif. Ia jufa membantu menguatkan enzim anti oksidan ‘glutathione peroxsidase’ (GSH) dan ‘glutathione-S-tranferase’ iaitu kedua-duanya adalah bahan detoksifikasi utama dalam tubuh dan juga membantu sistem pertahanan anti oksidan dalam sel-sel tubuh kita dan melindungi organ hati daripada kerosakan akibat toksin (Rujukan 3) .

Thymohydroquinone (THQ) dan thymoquinone (TQ) adalah bahan natural yang bersifat penghalang anticholinesterase (AChE) yang sangat berkuasa. Oleh itu ia akan membantu mengekalkan paras enzim ‘acetylcholine’ lebih aktif lebih lama didalam otak. Banyak bahan farmaseutikal dicipta secara sintetik untuk mempunyai sifat yang sama. Jika kita mempunyai pilihan mengambil bahan yang natural maka habbatussauda adalah pilihan yang lebih baik. Diantara penyakit yang boleh dibantu dengan sifat anticholinesterase seperti ini adalah seperti (Rujukan 4) :

  • penyakit Alzheimer’s
  • autisma
  • glaucoma
  • nyanyuk (dementia)
  • Parkinson
  • Schizhoprenia
  • Penyakit neurodegeneratif
  • Myasthenia gravis
  • Postural tachycardia syndrome

Thymol adalah bahan aktif yang juga terdapat dalam pati minyak ‘thyme’ oleh kerana itu ia dipanggil thymol. Tetapi ia juga terkandung didalam minyak habbatussauda yang mempunyai khasiat perubatan. Terdapat kajian yang menunjukkan bahan ini adalah efektif dalam rawatan melawan kuman tuberkulosis dan kuman virus. Oleh itu ia digunakan sebagai pencuci kuman atau disinfektan. Ia juga digunakan sebagai bahan semulajadi anti serangga perosak (pesticide). Ia juga digunakan dalam industri makanan sebagai perasa (flavoring), pewangi, pencuci kumur-kumur mulut dan juga bahan dalam produk kosmetik.

Khasiat dan kelebihan minyak habbatusauda Terdapat banyak kajian saintifik yang diterbitkan dalam jurnal saintifik perubatan, tetapi terdapat beberapa khasiat kelebihan yang lebih menonjol iaitu membantu dalam penyakit-penyakit seperti diabetes, obesiti, rambut gugur, penyakit kulit, jangkitan kuman dan virus dan juga mencegah kanser.

  1. Membantu mencegah dan melawan kanser
    • Berdasarkan kajian (Rujukan 5) , kandungan fitokimia dan anti oksidan didalam minyak habbatussauda boleh membantu mencegah dan merawat kanser.
    • Ahli sains daripada Croatia telah mengkaji secara mendalam kesan anti kanser thymoquinone dan tetrahydroquinone menggunakan haiwan makmal. Kajian ini menunjukkan pengurangan sehingga 52% pertumbuhan sel-sel kanser dalam haiwan yang dikaji.
    • Kajian (Rujukan 6) secara in-vitro, telah menunjukkan bahawa bahan thymoquinone di dalam habbatussauda boleh menyebabkan kematian sel-sel kanser secara apoptosis (programme cell death) dalam sel-sel kanser leukimia, kanser payudara (Rujukan 7) dan kanser otak (Rujukan 8).
    • Dalam satu lagi kajian (Rujukan 9) di Sydney Kimmel Cancer Centre pada tahun 2009 menunjukkan bahan thymoquinone didalam minyak habbatussauda mampu merawat kanser pankreas dengan menyekat pertumbuhan sel-sel kanser pankreas kerana sifat anti keradangan thymoquinone. Dalam kajian ini menunjukkan thymoquinone menghalang ekspressi bahan keradangan sitokin seperti TNF-alfa, interleukin-1 beta, interleukin-8, COX-2 dan MCP-1.
  2. Menjaga Kesihatan Organ hati
    • Organ hati adalah organ yang penting untuk detoksifikasi tubuh kita. Hampir semua toksin yang masuk ke dalam tubuh kita akan di hantar ke hati untuk dinyahtoksikkan dan juga hati menghasilkan hempedu untuk proses penghadaman lemak atau minyak dalam usus. Hati juga penting untuk penghasilan pelbagai bahan enzim dan neurotransmitter untuk kesihatan otak dan tubuh secara umumnya.
    • Bagi seseorang yang mempunyai masalah fungsi hati yang terganggu akibat pelbagai faktor seperti hati berlemak, pengerasan hati dan sebagainya yang berpunca daripada pengambilan gula yang tinggi, pengambilan alkohol berlebihan dan kesan sampingan ubat-ubat tertentu maka minyak habbatussauda boleh membantu mempercepatkan proses pemulihan organ hati.
    • Dalam satu kajian 10 menggunakan model haiwan menunjukkan pengambilan minyak habbatussauda memperbaiki fungsi hati dan mencegah kerosakan berterusan hati dan mencegah penyakit kerosakan hati.
  3. Membantu Mengawal Diabetes
    • Habbatussauda juga amat baik dalam membantu mengawal glukosa darah untuk pesakit diabetes. Dalam satu artikel yang diterbitkan dalam Journal of Endocrinology and Metabolism, berdasarkan satu kajian (Rujukan 11) oleh ahli sains daripada Indian Council of Medical Research telah memberi penerangan tentang kesan minyak habbatussauda yang boleh membantu pemulihan semula atau regenerasi sel-sel beta dalam kelenjar pankreas secara beransur-ansur. Oleh itu ia boleh memulihkan dan meningkatkan rembesan insulin secara normal daripada kelenjar pankreas oleh membantu mengawal paras glukosa darah secara lebih semulajadi. Ini adalah satu penemuan yang sangat menarik kerana tidak terdapat bahan dalam dunia ini yang boleh membantu dalam masalah diabetes jenis 1 dan 2.
    • Berdasarkan kajian ini, minyak habbatussauda memperbaiki kawalan glukosa seolah-olah ubat anti diabetes jenis Metformin tetapi tanpa kesan sampingan dan tiada kesan toksik. Ini adalah satu penemuan yang besar kerana ubat metformin adalah ubat yang sangat biasa digunakan oleh doktor untuk merawat masalah diabetes yang mempunyai beberapa kesan sampingan seperti rasa kembong perut, cirit-birit atau sembelit, rasa penghadaman terganggu, pedih ulu hati, sakit kepala, rasa sakit otot, sakit perut dan mengganggu penyerapan vitamin B12. Jika mengamalkan minyak habbatussauda boleh membantu pesakit diabetes ini adalah satu perkara yang sangat baik.
  4. Membantu Mengawal Tekanan darah tinggi
    • Minyak habbatussauda sememangnya telah digunakan sebagai remedi tradisional di Timur Tengah sejak berkurun lamanya. Ia juga mempunyai kesan positif mengawal tekanan darah tinggi.
    • Berdasarkan satu kajian (Rujukan 12) yang diterbitkan dalam Phytotherapy Research dalam tahun 2013, menunjukkan minyak habbatussauda boleh mengawal tekanan darah dengan baik. Kajian ini merupakan satu kajian rambang ‘double-blind’ yang melibatkan 70 peserta yang berumur diantara 34 tahun sehingga 63 tahun yang mempunyai tekanan darah sistolik 110mmHg hingga 140mmHg dan tekanan diastolik diantara 60mmHg hingga 90mmHg. Mereka diberikan suplemen minyak habbatussauda secara rawak sebanyak 2.5ml dan juga minyak paraffin cair sebagai plasebo sebanyak dua kali sehari selama 8 minggu. Kajian ini melihat kepada parameter tekanan darah sistolik dan diastolik, indeks jisim tubuh (BMI), ujian darah untuk fungsi hati dan buah pinggang.
    • Kesimpulan pada kajian ini menunjukkan pengambilan minyak habbatussauda membantu menurunkan tekanan darah dengan ketara di samping itu ia juga memberikan bacaan positif kepada ujian fungsi hati dan buah pinggang Dengan merujuk kepada beberapa kajian, secara umumnya menunjukkan minyak habbatussauda membantu mengawal tekanan darah tinggi dalam keadaan penyakit hypertensi yang sederhana sahaja dan tidak menunjukkan kesan penurunan tekanan darah dalam golongan pesakit yang lebih tua dan mempunyai sejarah penyakit hypertensi yang lama.
    • Satu kajian Rujukan 13 yang diterbitkan dalam Journal of Fundamental Clinical Pharmacology tahun 2008, menunjukkan pengambilan minyak habbatussauda boleh membantu dalam mengawal tekanan darah tinggi di kalangan pesakit hypertensi yang ringan sahaja. Oleh kerana itu ia boleh menjadi satu suplemen tambahan kepada pesakit hypertensi untuk diamalkan setiap hari dengan minum sebanyak 2.5ml sahaja dalam usaha mengawal tekanan darah tinggi.
  5. Membantu Menurunkan Berat badan
    • Minyak habbatussauda boleh membantu menurunkan berat badan berdasarkan satu kajian (Rujukan 14) yang diterbitkan dalam The Journal of Diabetes and Metabolic Disorders yang membuat penelitian hasil kajian secara sistematik tulisan kajian-kajian berkenaan bahan tumbuhan yang mempunyai kesan anti-obesiti. Kesimpulan daripada pengkajian ini menunjukkan minyak habbatussauda adalah diantara bahan remedi asli yang efektif membantu menurunkan berat badan.
    • Satu lagi kajian (Rujukan 15) sistematik dan meta-analisis yang diterbitkan dalam tahun 2018 mengkaji kesimpulan kepada 11 kajian trial klinikal kawalan plasebo yang menunjukkan bahawa pengambilan minyak habbatussauda boleh membantu menurunkan berat badan. Mengambil minyak habbatussauda boleh menurunkan indeks jisim tubuh (BMI) dan ukurlilit pinggang. Berdasarkan kajian ini tiada kesan sampingan yang merbahaya dalam pengambilan minyak habbatussauda dalam kajian yang dijalankan.
  6. Kesihatan dan kecantikan kulit
    • Dalam satu kajian yang dijalankan di Iran, minyak habbatussauda didapati sangat efektif sama seperti krim steroid betamethasone dalam rawatan ekzema tangan tanpa kesan sampingan krim steroid. Selagi anda tidak mempunyai allergi kepada minyak habbatussauda , maka pilihan ini adalah lebih baik.
    • Krim steroid betamethasone mempunyai kesan sampingan jika digunakan secara berlebihan dan berterusan seperti bengkak sembab muka, rasa kebas di bibir, mulut dan tekak, rasa susah bernafas, kulit menjadi nipis, perubahan warna kulit, senang lebam, pigmentasi kulit, otot jadi lemah dan sindrom Cushingoid.
    • Oleh kerana itu, saya lebih suka menggunakan suatu bahan yang lebih natural dan tidak mempunyai kesan sampingan yang merbahaya.
  7. Kesihatan dan kecantikan Rambut
    • Disamping ia mempunyai kesan positif untuk kulit, minyak habbatussauda juga amat baik untuk kesihatan dan kecantikan rambut dan kulit kepala. Oleh kerana itu, minyak habbatussauda digunakan sebagai bahan aktif dalam produk-produk penjagaan rambut seperti shampoo dan minyak rambut.
    • Terdapat bahan aktif yang dipanggil ‘nigellone’ yang terbukti berasarkan kajian (Rujukan 16) ia mempunyai kesan sama seperti anti-histamin, oleh itu ia boleh membantu mengurangkan kesan rambut gugur kerana masalah seperti kebotakan androgenik dan kebotakan areata. Dengan kandungan bahan anti-bakteria, anti oksidan dan anti keradangan, ia juga boleh mengurangkan masalah kelumumur, kekeringan kulit kepala dan meningkatkan kesihatan rambut dan kulit kepala secara tidak lansung.
  8. Meningkatkan kesuburan
    • Minyak habbatussauda juga mempunyai kelebihan dan khasiat meningkatkan kesuburan bagi lelaki. Dalam satu kajian (Rujukan 17) rambang ‘double-blind’ kawalan plasebo cubaan klinikal (randomized double-blind placebo-controlled clinical trial) yang mengkaji samada minyak habbatussauda boleh membantu dalam masalah kemandulan lelaki dengan sperma yang tidak normal. Peserta kawalan mengambil minyak habbatussauda sebanyak 2.5ml dan peserta dalam kumpulan plasebo diberikan minyak paraffin cair dalam kuantiti yang sama sebanyak dua kali sehari selama 2 bulan. Kajian ini mendapati kumpulan peserta yang mengambil minyak habbatussauda menunjukkan peningkatan jumlah sperma, motiliti sperma dan kuantiti air mani.
    • Satu kajian (Rujukan 18) penilaian sistematik yang diterbitkan dalam Journal of Herbal Medicine juga telah mengkaji kesan minyak habbatussauda dengan kesan kepada tahap kesuburan lelaki dan mengatasi masalah kemandulan lelaki. Pengkaji menilai semua kajian yang dijalankan diantara 2000 sehingga 2014 dan membuat kesimpulan bahawa minyak habbatussauda memberikan kesan positif kepada jumlah kuantiti sperma, jumlah pengeluaran air mani, sel-sel Leydig dalam testis, organ reproduksi dan paras hormon seksual.
  9. Mengawal keradangan dan kolesterol tinggi
    • Minyak habbatussauda mempunyai kesan positif mengawal kolesterol dan keradangan dalam tubuh. Ini adalah berdasarkan satu kajian (Rujukan 19) menggunakan model haiwan yang diterbitkan pada tahun 2017 dalam Journal Evidence Based Complementary & Alternative Medicine. Dalam kajian ini menunjukkan pengambilan minyak habbatussauda mempunyai kesan anti-diabetes dan juga membantu mengawal kolesterol darah dengan menurunkan paras LDL dan meningkatkan paras HDL-C.
    • Satu lagi kajian secara rambang ‘double-blind’ yang melibatkan peserta dengan masalah hypertensi yang ringan. Kumpulan peserta dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu satu kumpulan mengambil habbatussauda sebanyak 200mg dan 100mg mengambil plasebo sahaja sebanyak dua kali sehari.
    • Kajian dijalankan selama 8 minggu dan selepas itu didapati kumpulan yang mengambil minyak habbtussauda mengalami penurunan tekanan darah tinggi dan paras kolesterol total dan paras LDL darah.
    • Dalam satu kajian (Rujukan 20) meta-analisis penilaian komprehensif yang diterbitkan dalam Journal International Immunopharmacology tahun 2015 menunjukkan bahawa bahan aktif dalam minyak habbatussauda iaitu thymoquinone bersifat anti keradangan dan membantu mengawal fungsi imuniti tubuh kita (immunomodulatory). Sifat anti keradangan ini sangat penting untuk mencegah penyakit kardiovaskular disamping kawalan kepada paras kolesterol darah tadi.
    • Oleh itu kesimpulannya, pengambilan minyak habbatussauda boleh membantu menurunkan tekanan darah, glukosa darah, keradangan kronik dan kolesterol darah secara umumnya.
  10. Anti Bakteria, melawan jangkitan kuman & kuman kebal (MRSA)
    • Sekarang terdapat masalah di hospital-hospital wujudnya kuman super yang kebal kepada antibiotik yang ada. Kuman ini menyebabkan masalah kepada pesakit yang mempunyai paras imuniti yang rendah seperti warga tua, pesakit diabetes dan pesakit dalam ICU.
    • Masalah utamanya adalah pesakit yang mengalami jangkitan kuman super dalam tubuh mereka sukar dan tidak efektif dirawat dengan antibiotik yang biasa dan selalunya membawa maut. Ia juga mencemar peralatan hospital yang digunakan dan menyebabkan merebaknya jangkitan kuman di diseluruh kawasan hospital. Salah satu jenis kuman kebal ini di panggil sebagai Methicillin Resistent Staphylococcus Aureus (MRSA).
    • Masalah super-kuman atau kuman kebal ini adalah satu masalah kesihatan awam yang amat penting untuk diatasi. Berdasarkan kajian dan statistik, super-kuman ini hampir menyebabkan banyak jangkitan kuman sukar dirawat dan menyebabkan hampir 90,000 kematian setiap tahun. Statistik menunjukkan 5% hingga 10% pesakit yang dimasukkan ke wad akan mendapat jangkitan super-kuman ini. Pesakit yang terjangkit perlukan rawatan yang lebih lama dan rawatan yang lebih susah dan ramai yang tidak pulih yang akhirnya menyebabkan kematian. Oleh kerana itu, mencari penawar lain yang boleh bertindak dan membunuh super-kuman ini adalah satu usaha yang amat penting dan perlu dititik beratkan.
    • Dengan berita tentang kajian bahawa minyak habbatussauda berupaya membunuh dan menghalang pembiakan super-kuman ini, maka ini memberikan satu harapan yang lebih baik untuk dunia perubatan mengkajinya dengan lebih mendalam dan menggunakan kaedah ini untuk mengatasi masalah ini sepenuhnya.
    • Dalam satu kajian (Rujukan 21) yang dijalankan di Pakistan yang diterbitkan dalam journal perubatan pada tahun 2008 menunjukkan minyak habbatussauda boleh membantu membunuh kuman MRSA ini. Oleh kerana itu, minyak habbatussauda ini boleh digunakan untuk mengawal jangkitan kuman MRSA ini untuk mengelakkan jangkitannya menjadi tidak terkawal terutamanya di hospital-hospital umum.
    • Satu lagi kajian yang dijalankan di Jawaharlal Nehru Medical College, India untuk mengkaji kekuatan minyak habbatussauda menentang ‘kuman kebal antibiotik’ atau ‘super-kuman’ dengan kombinasi denga antibiotik yang sedia ada seperti Amoxicillin, Gatifloxacin dan Tetracycline.
    • Berdasarkan kajian ini menunjukkan daripada 144 jenis (strain) yang diuji yang semuanya bersifat kebal kepada antibiotik tadi, selepas di kombinasi dengan minyak habbatussauda, didapati 97 jenis berjaya di lawan oleh minyak habbatussauda. Kajian ini juga menunjukkan minyak habbatussauda adalah efektif kepada super-kuman dari jenis P.aeruginosa dan S.aureus. Saintis berpendapat sifat anti super-kuman ini adalah kerana kandungan bahan fitokimia Thymol, thymoquinone (TQ) dan thymohydroquinone(THQ) yang sangat kaya dalam minyak habbatussauda.

Bagaimana menggunakan Minyak Habbatussauda?

Dengan pelbagai khasiat dan kelebihan minyak habbatussauda yang telah saya terangkan tadi, maka timbul pula persoalan seterusnya iaitu bagaimana hendak menggunakan minyak habbatussauda ini?

Minyak habbatussauda boleh digunakan sebagai sapuan di kulit untuk masalah kulit seperti ekzema, psoriasis dan jerawat, tetapi kita perlu mencampurkan dengan minyak lain sebagai ‘pembawa’ seperti minyak kelapa atau minyak almond. Apabila telah dicairkan bersama minyak pembawa tadi boleh lah kita menyapu dikawasan yang terkena penyakit seperti eczema atau jerawat atau psoriasis itu. Nisbah umumnya adalah setitis minyak habbatussauda dengan satu sudu makan minyak pembawa.

Minyak habbatussauda juga boleh dibuat sebagai minyak urut dan juga sebagai losyen sapuan. Campurkan bebrapa titis minyak habbatussauda dengan minyak pembawa (minyak kelapa atau minyak almond) dan ianya boleh terus digunakan.
Untuk masalah rambut dan kulit kepala pula, titiskan beberapa titis minyak habbatussauda ke dalam produk seperti shampoo, conditioner atau minyak rambut atau pomade. Minyak habbatussauda juga boleh dicampurkan dengan minyak wangi untuk disapu pada luaran atau semburan wangi.

Saya selalu mencampurkan beberapa titis minyak habbatussauda dengan minyak zaitun dan minyak kelapa dara dan terus minum setiap pagi sebagai satu suplemen tonik kesihatan.

Minyak habbatussauda juga boleh dicampurkan dengan masakan didalam sup atau masakan berkuah atau boleh diletakkan dalam minuman seperti teh atau kopi.

Jika anda tidak boleh minum secara terus, maka produk minyak habbatussauda yang di capsulkan juga boleh diambil sebagai satu bentuk supplemen harian. Dosnya adalah satu sehingga 3 capsul sehari.

Anda perlu pastikan minyak habbatussauda yang dibeli mendapat taraf organik dan di persijilkan sebagai 100% asli dengan gred terapeutik. Ada juga sesetangah pengeluar melabelkan minyak habbatussauda ‘dara’ yang bermaksud minyak ini di ekstrak tanpa menggunakan haba dan ianya adalah lebih berperisa apabila di makan.

Sehingga kini tiada lagi dosage yang standard untuk penyakit-penyakit tertentu untuk minyak habbatussauda dan dosnya bergantung kepada individu dan pengalaman mengambilnya sendiri.

Tetapi janganlah mengambilnya melebihi dua sudu teh sehari kerana kajian 22 menunjukkan khasiatnya sudah memadai dengan dos diantara 1.0ml hingga 2.5ml sehari atau 1 gram ke 3 gram sehari sahaja.

DR NORMAN MOHD NORAWI
MBBS, MSc(UCSI), MNM(ACNEM), FAGE (MAHE)

Rujukan

1 Taha, M.; Azeiz, A. Z. Abdel; Saudi, W. Antifungal Effect Of Thymol, Thymoquinone And Thymohydroquinone Against Yeasts, Dermatophytes And Non-Dermatophyte Molds Isolated From Skin And Nails Fungal Infections.

2 Woo CC1, Kumar AP, Sethi G, Tan KH. Thymoquinone: potential cure for inflammatory disorders and cancer. Biochem Pharmacol. 2012 Feb 15;83(4):443-51.

3 Hayes JD1, Pulford DJ. The glutathione S-transferase supergene family: regulation of GST and the contribution of the isoenzymes to cancer chemoprotection and drug resistance. Crit Rev Biochem Mol Biol. 1995;30(6):445-600.

4 https://en.wikipedia.org/wiki/Acetylcholinesterase_inhibitor

5 Ivankovic S1, Stojkovic R, Jukic M, Milos M et al. The antitumor activity of thymoquinone and thymohydroquinone in vitro and in vivo. Exp Oncol. 2006 Sep;28(3):220-4.

6 Landa Zeenelabdin Ali Salim 1, Syam Mohan 1,* , Rozana Othman et al. Thymoquinone Induces Mitochondria-Mediated Apoptosis in Acute Lymphoblastic Leukaemia in Vitro. Molecules 2013, 18(9), 11219-11240;

7 Rajput S1, Kumar BN, Dey KK, et al. Molecular targeting of Akt by thymoquinone promotes G(1) arrest through translation inhibition of cyclin D1 and induces apoptosis in breast cancer cells. Life Sci. 2013 Nov 13;93(21):783-90.

8 Ira O. Racoma, 1 Walter Hans Meisen, 2 Qi-En Wang et al. Thymoquinone Inhibits Autophagy and Induces Cathepsin-Mediated, Caspase-Independent Cell Death in Glioblastoma Cells. PLoS One. 2013; 8(9): e72882. Published online 2013 Sep 9.

9 Navdeep Chehl, Galina Chipitsyna, QiaokeGong et al. Anti-inflammatory effects of the Nigella sativa seed extract, thymoquinone, in pancreatic cancer cells. Elsevier: HPB , Volume 11, Issue 5, August 2009, Pages 373-381

10 Hamed MA1, El-Rigal NS, Ali SA. Effects of black seed oil on resolution of hepato-renal toxicity induced bybromobenzene in rats. Eur Rev Med Pharmacol Sci. 2013 Mar;17(5):569-81.

11 Murli L. Mathura, b, Jyoti Gaura, Ruchika Sharmaa, Kripa Ram Haldiya. Antidiabetic Properties of a Spice Plant Nigella sativa. Journal of Endocrinology and Metabolism, Volume 1, Number 1, April 2011, pages 1-8.

12 Fallah Huseini H1, Amini M, Mohtashami R et al. Blood pressure lowering effect of Nigella sativa L. seed oil in healthy volunteers: a randomized, double-blind, placebo-controlled clinical trial. Phytother Res. 2013 Dec;27(12):1849-53.

13 Dehkordi FR1, Kamkhah AF. Antihypertensive effect of Nigella sativa seed extract in patients with mildhypertension. Fundam Clin Pharmacol. 2008 Aug;22(4):447-52.

14 Hasani-Ranjbar S1, Jouyandeh Z, Abdollahi M. A systematic review of anti-obesity medicinal plants – an update. J Diabetes Metab Disord. 2013 Jun 19;12(1):28.

15 Namazi N1, Larijani B2, Ayati MH3, Abdollahi M. The effects of Nigella sativa L. on obesity: A systematic review and meta-analysis. J Ethnopharmacol. 2018 Jun 12;219:173-181.

16 Wienkötter, N & Höpner, D & Schütte, Ute & Bauer, K & Begrow, F & El-Dakhakhny, M & J Verspohl, E. (2008). The Effect of Nigellone and Thymoquinone on Inhibiting Trachea Contraction and Mucociliary Clearance. Planta medica. 74. 105-8. 10.1055/s-2008-1034280.

17 Kolahdooz M1, Nasri S1, Modarres SZ2, Kianbakht S3, Huseini HF. Effects of Nigella sativa L. seed oil on abnormal semen quality in infertile men: a randomized, double-blind, placebo-controlled clinical trial. Phytomedicine. 2014 May 15;21(6):901-5.

18 Mahdavi, Reza & Heshmati Nazli Namazi, Javad. (2015). Effects of black seeds (Nigella sativa) on male infertility: A systematic review. Journal of Herbal Medicine. 5. 10.1016/j.hermed.2015.03.002.

19 Bensiameur-Touati K1, Kacimi G2, Haffaf EM. In Vivo Subacute Toxicity and Antidiabetic Effect of Aqueous Extract of Nigella sativa. Evid Based Complement Alternat Med. 2017;2017:8427034.

20 Majdalawieh AF1, Fayyad MW. Immunomodulatory and anti-inflammatory action of Nigella sativa and thymoquinone: A comprehensive review. Int Immunopharmacol. 2015 Sep;28(1):295-304.

21 Hannan A1, Saleem S, Chaudhary S. Anti bacterial activity of Nigella sativa against clinical isolates of methicillin resistant Staphylococcus aureus. J Ayub Med Coll Abbottabad. 2008 Jul-Sep;20(3):72-4.

Dr Norman bin Mohd Norawi

Pakar Kecantikan (Aesthetic), Anti Penuaan dan Perubatan Regeneratif serta penulis dan penceramah penjagaan kesihatan.

Recent Posts