Konsep Pemakanan Halal dan Toyyiban

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Prinsip asas yang dilandaskan oleh Islam berkenaan pemakanan adalah prinsip boleh guna atau harus guna atas setiap benda. Semua yang diciptakan oleh Allah diatas muka bumi ini atau di dalam perut bumi boleh digunakan oleh manusia demi menjamin kelansungan hidup. Tiada satu pun yang dicegah atau diharamkan kecuali apa yang telah termaktub dalam nas-nas dalam AlQuran dan hadis-hadis sahih yang diperjelaskan oleh Nabi Muhammad SAW. Ini adalah seperti Firman Allah dalam Surah AlBaqarah ayat 29 yang bermaksud:

Dialah Allah yang menjadikan segala yang ada dibumi untuk kamu

Makanan adalah untuk menyediakan khasiat, zat atau nutrien yang secukupnya kepada tubuh manusia.

Budaya pemakanan zaman moden sekarang banyak menjurus kepada pelbagai masalah kesihatan. Islam amat mengalakkan penjagaan kesihatan dengan pelbagai nas dari sumber AlQuran dan Hadis Nabi Muhammad SAW. Setiap hari kita akan berdoa kepada Allah agar dikurniakan kesihatan yang baik semasa solat atau diluar solat. Ini jelas membuktikan penjagaan kesihatan amat diutamakan dalam Islam.

Faktor pemakanan yang betul dan sihat adalah amat penting untuk mendapat kesihatan yang terbaik.

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kesihatan yang baik , tetapi faktor pemakanan yang sihat adalah faktor yang utama sebagaimana satu hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

Perut itu tempat penyakit dan berpantang itu adalah penyembuh yang utama.

Maksud berpantang disini adalah pemilihan makanan yang tertentu iaitu makanan yang menyihatkan amat penting untuk mencegah penyakit. Dengan makanan kita akan menguatkan tubuh fizikal dengan penjanaan tenaga dari makanan. Makanan yang tidak sihat juga menjadi punca kepada pelbagai jenis penyakit. Manusia makan untuk kelansungan hidup , bukan hidup untuk makan, tetapi kadangkala tidak kita sedari ramai manusia yang makan untuk ‘mati’. Ini adalah kerana banyak makanan yang kita makan menyebabkan kita mendapat penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, strok, obesiti, kanser dan sebagainya.

Faktor pemakanan adalah berkait langsung dengan setiap amalan kebaikan sepertimana yang telah dinyatakan dalam surah Al-Mukminun ayat 51 yang bermaksud:

Wahai Rasul, makanlah dari yang baik-baik dan beramallah dengan amalan yang soleh.

Islam amat menekan pemakanan HALAL dan ‘TOYYIBAN’ iaitu makanan yang halal lagi baik. Apakah maksud ‘toyyiban’ ini sebenarnya? Dari aspek sumber makanan hendaklah makanan itu kita beli atau kita perolehi dari sumber yang halal untuk mendapat keberkatan dari Allah. Oleh kerana itu makanan dari sumber duit yang haram, seperti hasil judi atau rasuah dan sebagainya adalah tidak baik dan tidak berkat.

Disamping faktor ini, maksud ‘toyyiban’ juga bermaksud baik dari sudut menjaga kesihatan. Kerana makanan yang memudaratkan kesihatan akan menyebabkan tubuh badan kita menjadi rosak dalam jangka masa panjang. Badan yang sakit dan tidak sihat akan mengganggu kita melaksanakan tanggungjawab kita sebagai muslim dari aspek ibadah dan pekerjaan seharian.

Makanan halal mungkin akan dilihat melalui persijilan halal oleh pihak berkuasa, tetapi tidak semua makanan yang halal itu ‘toyyib’ dari sudut kesihatan. Contohnya makanan ringan (junk food) adalah halal kerana dibuat dari gandum dan bahan-bahan halal. Tetapi dari aspek kesihatan makanan ini tidak sihat dan akan memudaratkan kesihatan kerana tidak mengandungi zat-zat cukup dan hanya mempunyai kalori semata-mata. Gula pasir juga adalah makanan yang HALAL tetapi kajian menunjukkan gula pasir adalah memudaratkan kesihatan jika diambil berlebihan untuk jangkamasa panjang. Oleh itu gula pasir tidak boleh kita kategorikan sebagai makanan ‘toyyiban’.

Oleh kerana itu makanan yang baik hendaklah kedua-dua aspek ini dipenuhi iaitu makanan halal dan ianya menyihatkan. Mungkin kerana inilah apabila perkataan ‘halal’ disebut dalam AlQuran, akan disambung dengan perkataan ‘toyyiban’, dengan ini jelaslah keperluan kita ummat Islam menitik beratkan faktor makanan yang menyihatkan ini dalam pemilihan makanan seharian kita.

Makanan proses yang kaya dengan gula, tepung gandum, lemak ‘trans’, pengawet, perwarna, perasa tiruan dan garam berlebihan adalah contoh makanan yang tidak sihat. Makanan proses amat sinonim dengan kehidupan kita sekarang. Restoran makanan segera tumbuh bagai cendawan, membawa satu budaya yang kurang sihat dalam masyarakat kita hari ini. Makan tersedia dan makanan segera yang diproses seperti mee segera, makanan tin, makanan sejuk beku, pelbagai jenis biskut, kerepek dan sebagainya amat banyak di pasaran. Semua jenis makanan ini jika terlalu kerap diambil akan membawa kepada pelbagai jenis penyakit sebagaimana yang telah terbukti dari kajian sains yang telah banyak dilaporkan dalam jurnal-jurnal perubatan. Oleh kerana itu meninggalkan makanan seperti ini juga dituntut oleh Islam demi kesihatan yang baik.

Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik pemakanan yang halal lagi menyihatkan. Makanan Rasulullah adalah makanan segar seperti buah-buahan seperti kurma segar, tembikai, madu, labu, buah tin dan minyak zaitun. Baginda juga makan roti yang dikisar sendiri dari gandum dan barli yang kaya dengan serat penuh (wholemeal). Didalam AlQuran banyak kali disebut ‘buah-buahan’ dalam banyak surah-surahnya. Makanan syurga juga adalah terdiri dari pelbagai jenis buah-buahan. Kenapa buah-buahan ini selalu di sebut dalam AlQuran? Sudah pasti ada banyak kelebihannya dari sudut kesihatan. Sekarang dengan ribuan kajian yang dilaporkan dalam jurnal-jurnal perubatan tentang khasiat buah-buahan menjaga kesihatan yang baik, terbuktilah bahawa apa yang dinyatakan oleh AlQuran sejak 1400 tahun dahulu lagi.

Satu lagi aspek yang penting dalam soal pemakanan seharian adalah jumlah makanan yang kita makan setiap hari. Rasulullah tidak melampau dalam jumlah makanan yang dimakan sebagaimana sabdanya dalam satu hadis yang bermaksud:

Kami adalah kaum yang makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang

Islam amat menekankan konsep bersederhana dalam mengambil makanan dan amat mengeji perbuatan membazir dalam pemakanan. Melampau dan berlebih-lebihan semasa makan akan menyebabkan masalah kesihatan yang serius dan juga masalah obesiti. Oleh itu, makan secara sederhana amat selari dari aspek kesihatan dan tuntutan Islam. Sebagai muslim yang sejati pemakanan yang halal dan toyyiban adalah panduan yang amat baik untuk kita amalkan setiap hari untuk mendapat keberkatan dari rezeki dari Allah dan mendapat kesihatan yang terbaik. Insyaallah.

Dr Norman Mohd Norawi
MBBS (Man), MSc (UCSI), FAGE (MAHE)

Dr Norman bin Mohd Norawi

Pakar Kecantikan (Aesthetic), Anti Penuaan dan Perubatan Regeneratif serta penulis dan penceramah penjagaan kesihatan.

Recent Posts