Kunyit : Rempah Kehidupan & Kesihatan

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Kunyit adalah rempah masakan yang telah sinonim dengan masyarakat di Malaysia terutamanya masyarakat Melayu dan India. Warna kuning kunyit inilah yang menjadikan masak lemak cili api mendapat warna kuning dan kari juga berwarna kekuningan. Ia telah menjadi popular dikalangan mereka yang menjaga kesihatan sebagai salah satu bahan sangat baik untuk kesihatan.

Berdasarkan laporan oleh Google 2016 Food Trend Report, carian tentang kunyit (turmeric) atau curcumin meningkat sebanyak 56% daripada November 2015 hingga Januari 2016. Ini menunjukkan minat masyarakat dunia kepada bahan curcumin yang terkandung dalam kunyit.

Berdasarkan laporan oleh University of Maryland Medical Centre menyatakan WHO telah membuat anggaran bahawa 80% penduduk dunia mula bergantung kepada ubat-ubatan herba dalam perubatan primari mereka. Di German, lebih kurang 600 ke 700 ubat-ubatan berasaskan tumbuhan herba boleh di dapati dipasaran dan 70% daripada di berikan preskripsi oleh doktor-doktor disana. Di USA juga sejak 20 tahun yang lepas, akibat ketidakpuasan hati masyarakat di sana dengan ubat preskripsi biasa maka terdapat ramai masyarakat disana telah mula menggunakan ubat-ubatan herba.

Bahan aktif didalam kunyit adalah ‘kurkumin’ (curcumin) iaitu sejenis bahan anti oksidan dan anti keradangan yang kuat. Disamping itu kunyit juga mengandungi mineral seperti manganese, zat besi, vitamin B6, kalium, vitamin C, magnesium dan serat yang tinggi.

Keradangan atau inflammasi adalah punca kepada pelbagai jenis penyakit kronik seperti obesiti, kanser, sakit jantung, darah tinggi, sindrom metabolik, pengerasan saluran darah (atherosklerosis) dan penyakit Alzheimer. Komponen utama dalam kunyit adalah ‘kurkumin’ yang merupakan bahan anti keradangan. Pengambilan kurkumin daripada kunyit boleh membantu melawan dan mencegah pelbagai penyakit kronik ini. Kurkumin bertindak sebagai agen anti keradangan di peringkat molekul dengan menghalang molekul NF-κB masuk ke bahagian nukleus dalam sel yang akan mengaktifkan gen yang berkaitan dengan keradangan atau inflammasi. Kajian terkini juga menunjukkan kurkumin boleh membantu dalam penyakit-penyakit akibat keradangan seperti penyakit keradangan usus besar (IBS), keradangan sendi rheumatoid, bengkak sendi dan mengurangkan sakit sendi dan urat. Kurkumin juga didapati boleh menurunkan paras kolesterol, menjaga kesihatan jantung, mengurangkan masalah penghadaman dan meningkatkan fungsi hati.

Masyarakat moden hari ini sentiasa terdedah dengan pelbagai  kerosakan akibat radikal bebas daripada pencemaran udara, air dan makanan disamping faktor stress dan merokok. Kajian membuktikan radikal bebas adalah punca kepada pelbagai jenis penyakit kronik seperti kanser, kardiovaskular dan sebagainya. Kurkumin adalah bahan anti oksidan yang melawan kesan radikal bebas dengan meneutralkan radikal bebas yang menyerang sel-sel di otak, buah pinggang, hati dan jantung.

Menurut laporan oleh Institute Linus Pauling di Oregon State University, kurkumin yang diambil secara oral akan mencapai kepekatan yang mencukupi dalam gastro usus kita untuk menentang radikal bebas yang menyebabkan kesan oksidatif kerosakan DNA pada lapisan mukosa usus. Disamping itu kurkumin juga mencetuskan ekspressi Fasa II enzim anti oksidan termasuklah ‘glutamate-cysteine ligase’ (GCL) dan enzim untuk sintesis glutathione (GSH). Glutathion ini adalah anti oksidan semulajadi dalam sel-sel tubuh kita  yang sangat penting untuk sel-sel tubuh menghadapi stres atau tekanan. Kajian menunjukkan curcumin meningkatkan ekspressi GCL dengan mengaktifkan pelbagai laluan isyarat dan lain-lain enzim detoksifikasi.

Kajian menunjukkan kurkumin boleh membantu mengurangkan risiko kanser. Terdapat juga kajian menunjukkan kurkumin boleh merencat perkembangan dan pertumbuhan sel-sel kanser di peringkat molekul lagi. Kajian khusus dalam makmal dan juga kepada haiwan menunjukkan kurkumin mencegah kanser kolorektal. Disamping itu, kurkumin juga menghalang pertumbuhan saluran darah baru (angiogenesis) kepada ketumbuhan kanser dan juga ia membantu menghalang merebaknya kanser atau metastases. Kurkumin juga boleh membunuh sel-sel kanser secara terus. Satu kajian yang menarik melibatkan 44 orang peserta yang mempunyai ketumbuhan (lesion) dalam usus besar yang boleh berubah menjadi kanser. Selepas di berikan 4 gram kurkumin selama 30 hari didapati 40% pengurangan jumlah ketumbuhan tersebut.

Kajian lain juga menunjukkan kurkumin boleh mencegah penyakit neurodegeneratif Alzheimer. Tiada rawatan untuk pemulihan penyakit ini dan cara terbaik adalah mencegahnya sebelum terkena. Kurkumin adalah bahan yang boleh merentasi halangan lapisan darah-otak (blood brain barrier) dan kajian menunjukkan ia boleh membantu meningkatkan fungsi kecerdasan otak seseorang. Kajian menunjukkan kurkumin mengurangkan pengumpulan bahan plak beta amyloid, mengurangkan degradasi sel saraf otak, ‘chelation’ logam berat, mengurangkan penghasilan sel mikroglia, anti keradangan dan anti oksidan. Secara umumnya didapati kurkumin meningkatkan memori pesakit Alzheimer apabila mengambilnya. Kajian oleh Stanford University School of Medicine menunjukkan bahan protin beta amyloid merosakkan sinapses saraf sebelum ia bergumpal sebagai plak yang akan membunuh sel-sel saraf. Kerana itulah seseorang pesakit Alzheimer mempunyai masalah ingatan kerana kerosakkan.

Kandungan kurkumin dalam kunyit hanyalah 3% setiap gram berat. Oleh itu ekstrak kurkumin adalah cara terbaik untuk mendapat kesan yang optimum kerana hanya dengan pengambilan melalui makanan seperti kari dan masakan tidak akan mampu mencapai dosage yang diperlukan iaitu melebihi 1 gram sehari. Kurkumin juga lebih susah di serap ke dalam saluran darah dan cara terbaik untuk meningkatkan penyerapannya adalah dengan pengambilan lada hitam sekali dengannya kerana lada hitam mengandungi bahan ‘piperine’ yang meningkatkan penyerapan kurkumin sehingga 2000 peratus. Kunyit adalah secara umumnya selamat dimakan, tetapi pengambilan yang terlalu banyak boleh menyebabkan masalah kembong angin, loya, cirit-birit, reaksi kulit dan darah cair.

Amalkan pengambilan kunyit setiap hari dalam masakan harian kita. Untuk mendapatkan kesan yang terbaik kita bolehlah mengambil suplemen curcumin setiap hari sebagai satu kaedah menjaga kesihatan kita. Insyaallah.

 

 

Rujukan:

  1. Gupta, S.C.; Patchva, S.; Aggarwal, B.B. Therapeutic Roles of Curcumin: Lessons Learned from Clinical Trials. AAPS J.2013,15, 195–218
  2. Aggarwal, B.B.; Kumar, A.; Bharti, A.C. Anticancer potential of curcumin: Preclinical and clinical studies. Anticancer Res.2003,23, 363–398
  3. Mahady, G.B.; Pendland, S.L.; Yun, G.; Lu, Z.Z. Turmeric (Curcuma longa) and curcumin inhibit the growth of Helicobacter pylori, a group 1 carcinogen. Anticancer Res.2002,22, 4179–418
  4. Wright, L.E.; Frye, J.B.; Gorti, B.; Timmermann, B.N.; Funk, J.L. Bioactivity of turmeric-derived curcuminoids and related metabolites in breast cancer. Curr. Pharm. Des.2013,19, 6218–6225
  5. Aggarwal, B.B.; Harikumar, K.B. Potential therapeutic effects of curcumin, the anti-inflammatory agent, against neurodegenerative, cardiovascular, pulmonary, metabolic, autoimmune and neoplastic diseases. Int. J. Biochem. Cell Biol. 2009,41, 40–59
  6. Shoba, ;  Joy,  D.;  Joseph,  T.;  Majeed,  M.;  Rajendran,  R.;  Srinivas,  P.S.  Influence  of piperine  on  the pharmacokinetics of curcumin in animals and human volunteers. Planta Med.1998,64, 353–356

 

Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, MSc(UCSI),FAGE (MAHE)

 

 

Dr Norman bin Mohd Norawi

Pakar Kecantikan (Aesthetic), Anti Penuaan dan Perubatan Regeneratif serta penulis dan penceramah penjagaan kesihatan.

Recent Posts